Monday, 7 July 2014

Internalisasi Konsep Akhlak Al-Ghazali Dan Konsep Ta’dib al-Attas Dalam Pembinaan Modal Insan Berkualiti.

Abstrak
Konsep akhlak al-Ghazali telah banyak dibincangkan berbanding dengan konsep ta’dib     al-Attas.  Kedua-dua konsep itu menyentuh dan mengupas permasalahan yang sama iaitu pembinaan akhlak dan adab untuk membentuk modal insan berkualiti. Kesempurnaan akhlak seseorang insan sama ada berbentuk akhlaqul kharimah atau atau akhlaqul sa’yiah banyak ditentukan oleh sifat-sifat utama dalam diri insan iaitu kebijaksanaan (al-hikmah), kebenaran (ash-shajaah), pengawasan ke atas keinginan dan nafsu (al-’iffah) dan keadilan atau pertimbangan  (al-’adalah).Kesempurnaan ta’dib pula terletak pada kemampuan menjadikan adab sebagai disiplin jasadiyy, pemikiran dan rohani yang menjanjikan pengenalan dan pengiktirafan kedudukan yang tepat bagi membolehkan seseorang menerima ilmu dan bertindak menurut ilmu. Sorotan tentang etika dan moral sengaja tidak dilakukan supaya perbincangan lebih berfokus kepada tautan dua konsep di atas. Sorotan juga dilakukan tentang kenapa internalisasi yang sebenarnya mendasari konsep akhlak dan konsep ta’dib tidak berlaku sebagaimana yang sepatutnya dalam masyarakat sehingga menimbulkan pelbagai masalah akhlak di negara kita. Cadangan menginternalisasikan konsep akhlak dan ta’dib turut disarankan untuk difikirkan bersama.

Pengenalan
Konsep akhlak dalam Islam sering disamakan dengan konsep moral dan etika Barat sedangkan etimologi dan terminologi kedua-duanya menunjukkan jurang perbezaan yang amat besar. Akhlak juga sering disamaertikan dengan tingkah laku tanpa merujuk kepada makna sebenar kedua-dua perkataan tersebut. Konsep ta’dib pula sering terkebelakang penggunaannya setelah istilah ta’lim dan tarbiyah walaupun akar kata istilah-istilah tersebut membawa pengertian yang saling melengkapi antara satu dengan lain. Istilah adab juga sering disempitkan kepada kebiasaan atau adab harian sedangkan maksudnya menurut al-Attas mendasari tujuan pendidikan dalam Islam.



Konsep Akhlak al-Ghazali
Menurut al-Ghazali akhlak adalah pernyataan gerak-gerik yang tertanam di dalam jiwa, sehingga menimbulkan perbuatan-perbuatan dengan mudah melakukannya tanpa memerlukan pemikiran dan pertimbangan. Perkataan akhlak berasal daripada bahasa Arab khuluq yang jamaknya khuluqun. Maksud akhlak daripada segi bahasa ialah budi pekerti, perangai, tingkah laku, atau tabiat. Kata akhlak meliputi aspek-aspek kejiwaan dari tingkah laku lahiriah dan batiniah seseorang. Kata akhlak juga mengandung persesuaian dengan perkataan "khalqun"  yang bermaksud kejadian serta erat hubungannya dengan Khaliq yang bermakna Pencipta, dan makhluk yang bermaksud  yang diciptakan. Makna akhlak daripada segi istilah adalah daya kekuatan (sifat) yang tertanam dalam jiwa dan mendorong perbuatan-perbuatan dilakukan dengan spontan tanpa memerlukan pertimbangan dan pemikiran.  Oleh itu akhlak adalah tabiat yang telah sebati pada diri seseorang yang dengan mudah dapat ditampilkan dalam tingkah laku.

Kekeliruan mungkin berlaku apabila kita cuba membezakan antara akhlak dengan tingkah laku. Akhlak adalah merupakan sifat maknawi (rohani) manakala tingkah laku adalah terjemahan daripada kesan akhlak maknawi. Kadangkala tingkah laku datangnya daripada pengaruh dari luar atau dibuat-buat dan bukan terjelmanya dari pantulan akhlak. Oleh itu prasyarat utama untuk memastikan bahawa tingkah laku itu adalah lantunan dari akhlak ialah ianya berlaku secara berterusan (istiqamah), tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur luar dan ianya mestilah bertepatan dengan Al-Quran dan As-Sunnah.

Menurut al-Ghazali kata al-khalq (fizikal/zahir) dan al-khuluq (akhlak/batin) adalah dua perkataan yang sering digunakan secara bertimbal balik. Hakikat ini selaras dengan penciptaan manusia yang terdiri daripada jasad (zahir) dan rohani (batin). Doa melihat cermin yang diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam memancarkan paduan kaitan antara keindahan bentuk lahir dan keindahan bentuk batin itu:
اللَّهُمَّ كَمَا حَسَّنْتَ خَلْقِي فَحَسِّنْ خُلُقِي
Bermaksud: "Ya Allah, sebagaimana Engkau telah memperindah kejadianku, maka perindah pulalah akhlakku" (HR. Ahmad).

Secara ringkas dapatlah dirumuskan bahawa akhlak itu  memiliki tiga ciri, iaitu; pertama, akhlak adalah perbuatan yang telah tertanam  kukuh dalam jiwa seseorang, sehingga sudah menjadi tabiatnya; kedua, akhlak adalah perbuatan yang dilakukan dengan mudah dan tanpa pemikiran tetapi tidak bermakna sesuatu perbuatan itu dilakukan dalam keadaan tidak sedar, hilang ingatan, tidur atau gila; dan ketiga, akhlak adalah perbuatan yang timbul dari dalam diri individu yang mengerjakannya tanpa ada paksaan atau tekanan dari luar. Manakala Miqdad Yaljin (dalam Asmawati Suhid, 2009) merangkumkan kesemua maksud khuluq itu dalam takrif akhlaknya yang mecakup tiga aspek, iaitu:

              i.        sifat semula jadi yang dimiliki oleh seseorang secara fitrah (yang tertanam dalam jiwa);
             ii.        sifat  yang dimiliki oleh seseorang melalui  pendidikan  dan latihan (termasuk rangsangan) yang akhirnya diterima sebagai adat resam, tabiat (atau budaya); dan
            iii.        sifat  batiniah (batin atau    kejiwaan)   dan sifat lahiriah (zahir atau kelakuan/perbuatan).

Sumber Akhlak

Ketika ditanya tentang akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, Sydaitina Aisyah dengan tegas menjawab:  ‘Akhlak Baginda ialah al-Quran'. Jawapan itu memberikan gambaran tepat tentang dua sumber akhlak iaitu wahyu Allah Subhanahu wa Ta'ala           (al-Quran) dan  Sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Daripada dua sumber inilah dapat diketahui  dua  jenis nilai akhlak iaitu nilai-nilai yang baik atau mahmuddah (akhlaqul kharimah atau akhlaqul fadhilah atau khusnul khuluq) dan nilai-nilai yang tidak baik atau mazmumah  (su’ul akhlaq atau akhlaqul sa’yiah). Kesempurnaan akhlak seseorang insan terletak pada kewujudan ibu sifat-sifat utama dalam dirinya iaitu kebijaksanaan (al-hikmah), kebenaran (ash-shajaah), pengawasan ke atas keinginan dan nafsu (al-’iffah) dan keadilan atau pertimbangan  (al-’adalah).

            Kedua-dua jalur akhlak itu, mahmuddah dan mazmummah akan mencorakkan  cara berfikir, cara bertindak dan  sikap  serta amalan seseorang  terhadap  diri sendiri,  perhubungan  dengan  Allah Subhanahu wa Ta'ala dan  perhubungan dengan manusia serta  alam sekitar.  Andainya jiwa seseorang itu tenang, tenteram dan bahagia akan lahirlah tingkah laku,  perangai atau  budi  pekerti  yang baik dan terpuji. Jikalau  keadaan  jiwa  tidak tenteram dan berkecamuk akan lahir tingkah laku atau perangai yang kasar dan tercela, antaranya riak, ujub, panjang angan-angan, terlalu mencintai dunia dan kufur nikmat.

Akhlak juga dapat dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu akhlak fithiyah dan akhlak muktasabah. Akhlak fithriyah adalah akhlak yang bersifat fitrah atau dibawa sejak lahir.  Sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam kepada al-Asyajj dan Mundzir ibn ‘Azir yang bermaksud: “Sesungguhnya dalam dirimu ada dua perkara yang dicintai Allah: santun dan hati-hati.” (HR. Ahmad, Nasai, dan Bukhari) menjelaskan hakikat ini. Akhlak muktasabah pula adalah akhlak yang diperoleh melalui usaha, belajar dan bimbingan. Allah Subhanahu wa Ta'ala telah menanamkan dalam diri setiap insan pelbagai potensi untuk dikembangkan. Insan pula dipertanggungjawabkan dengan taklif syar’i untuk mengembangkan potensi-potensi tersebut. Rasululah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, maksudnya:  “sesungguhnya ilmu itu didapat dengan belajar dan santun didapat dengan latihan, barang siapa mencari kebaikan maka dia diberinya dan barang siapa menjauhi keburukan maka dia dilindungi darinya.” (HR. Thbarani, Baihaqi, Baghdadi, dan Abu Khaitsamah).

Tentang ciri dan init pati akhlak, Mohd Kamal Hassan (1988) menyenaraikan enam ciri akhlak Islam yang  meliputi  kedua-dua dimensi iaitu batin  dan zahir. Ciri dan intipati akhlak yang pertama ialah menyeluruh,   iaitu   mencakupi   kegiatan   ekonomi,    politik, pentadbiran dan pemerintahan dan aspek-aspek hidup yang lain; kedua, seimbang antara  tuntutan  jasmani  dan  rohani   dan   antara kemaslahatan dunia dan akhirat; dan ketiga, sederhana  yang  terletak antara dua pola yang tidak  baik  iaitu berlebihan dan berkurangan. Ciri dan intipati akhlak yang keempat ialah realistik dalam erti kata tidak bertujuan menghapuskan  keperluan material dan jasmani; kelima, mudah dalam erti kata tidak bertujuan memberatkan  seseorang  di luar kemampuannya; dan yang terakhir, mengaitkan teori dengan amal.

Konsep Ta’dib al-Attas
Syed Muhammad Naquib al-Attas lebih memilih ta’dib berbanding ta’lim dan tarbiyah sebagai inti pati pendidikan Islam. Menurut al-Attas, "Struktur konsep ta'dib sudah menyangkut unsur-unsur ilmu ('ilm), pengajaran (ta'lim), dan pembinaan yang baik (tarbiyah). Menjelaskan lebih lanjut al-Attas menegaskan ta’lim hanyalah pengajaran biasa yang tidak memerlukan aspek-aspek pendidikan, sedang tarbiyah lebih umum, dapat dipakai untuk mengasuh manusia sekali gus binatang, sedang  ta’dib lebih sempurna, kerana sudah mencakup pengajaran, pendidikan dan penanaman akhlak mulia dan lebih khusus untuk manusia. Dengan ta’dib manusia sempurna (al-insan al-kamil) dapat terwujud sebagaimana sifat-sifat dan tingkah laku yang ada pada diri Rasulullah melalui ta’dib dari Allah Subhanahu wa Ta'ala.

            Asyraf Isyraqi (2012) yang merujuk kepada tiga leksikon Arab iaitu Mu’jam Maqayis al-Lughah, Lisan al’Arab dan al-Qamus al-Muhit menjelaskan “Apabila ta’dib atau addaba digunakan kepada manusia secara khusus, ia bermaksud pengajaran ilmu (ta’lim atau ‘allama) dan apabila merujuk penggunaannya kepada binatang secara khusus, ia bermaksud perlatihan perbuatan (untuk patuh dan tunduk). Dengan yang demikian, ta’dib atau addaba sudah sedia mengandungi makna usaha yang bersifat aqil (akal) dan jawarihi (anggota tubuh) padanya. Justeru itu, ta’dib atau addaba dengan maknanya yang menyeluruh jika merujuk kepada usaha yang berkaitan dengan manusia merupakan suatu usaha menghubungkan manusia kepada adabnya untuk melahirkan manusia yang beradab iaitu manusia yang berilmu dan berakhlak yang tidak akan dapat dicapai melainkan dengan tindakan pengajaran ilmu (ta’lim) dan perlatihan perbuatan (tarbiyah).”

Mohd Sani Badron (2010) mengungkapkan makna sebenar adab yang dimaksudkan oleh al-Attas  iaitu “right action”, "perlakuan yang tepat," "perilaku yang betul," "pengamalan yang benar," dan "perbuatan yang baik" dalam sebarang keadaan. Ia adalah paduan antara ilmu dan amal, pengetahuan dan perbuatan, teori dan praktis, serta pengenalan dan pengakuan. Pengertian adab al-Attas juga bukan menjurus kepada sopan santun seperti abad makan dan adab berjalan dan tidak juga selari dengan konsep etika Barat. Sebaliknya al-Attas menekankan konsep adab yang berpaksikan ilmu tentang  hikmah (wisdom) yang membolehkan seseorang untuk meletakkan segala sesuatu di tempat yang tepat. Hikmah dalam konteks ini adalah sama maknanya dengan kata adil.

Lebih jelas lagi, al-Attas mengungkapkan adab ialah disiplin jasadiyy, pemikiran dan rohani yang menjanjikan pengenalan dan pengiktirafan kedudukan yang tepat bagi segala sesuatu. Maksudnya, adab membolehkan seseorang menerima ilmu dan bertindak menurut ilmu. Adab mempunyai tahap yang pelbagai. Pada satu tahap, adab merupakan prasyarat kepada pendidikan. Maksudnya, pencari ilmu perlu meletakkan dirinya di tempat yang sesuai dalam hubungannya dengan gurunya, rakan-rakannya dan alam. Pada tahap yang lain, adab merupakan tujuan pendidikan. Maksudnya, dalam setiap lapangan ilmu yang dicari, adab mesti memberi pedoman kepada manusia tentang perlakuan yang sesuai dan tepat.

Konsep ta’dib juga telah mencakupi konsep ilmu dan amal. Menurut al-Attas (2001), adab adalah: “Pengenalan serta pengakuan akan hak keadaan sesuatu dan kedudukan seseorang, dalam rencana susunan berperingkat martabat dan darjat, yang merupakan suatu hakikat yang berlaku dalam  tabiat semesta.” Pengenalan adalah ilmu; pengakuan adalah amal. Maka, pengenalan tanpa pengakuan seperti ilmu tanpa amal; dan pengakuan tanpa pengenalan seperti amal tanpa ilmu.” Keduanya sia-sia kerana ilmu tanpa amal adalah keingkaran dan keangkuhan, dan amal tanpa ilmu adalah menifestasi  ketiadasedaran dan kejahilan. Dalam hal ini, al-Attas menegaskan isi atau content iaitu penanaman adab adalah unsur terpenting dalam pendidikan dengan merujuk kepada hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu  addabani robbi fa ahsana ta’dibi”. (Allah mendidikku, maka Dia memberikan kepadaku sebaik-baik pendidikan). Lantaran itu, kata ta’dib, lebih menekankan pada penguasaan ilmu yang benar dalam diri seseorang agar ianya memiliki autoriti dalam ilmu tersebut yang memimpinnya mencapai tahap kemantapan dalam amal dan memiliki  adab serta tingkah laku yang baik.

Kaitan konsep akhlak al-Ghazali dan konsep ta’dib al-Attas
Terdapat beberapa kaitan daripada aspek matlamat, kerangka rujukan dan proses antara akhlak dan ta’dib. Matlamat akhlak dan ta’dib adalah sama iaitu untuk melahirkan insan yang baik. Akhlak berteraskan syariat (iman dan aqidah) manakala ta’dib berteraskan hiraki ilmu (fardu ain dan fardu kifayah) yang juga dipandu oleh syariat. Kedua-duanya, akhlak dan ta’dib memerlukan latihan dan pembiasaan supaya menjadi amalan tanpa perlu paksaan.

Perbezaan yang ketara pula, akhlak ialah melakukan sesuatu tanpa perlu berfikir kerana telah sebati dalam jiwa dan menjadi tabiat manusia yang melakukannya. Adab dalam ta’dib memerlukan panduan dan autoriti ilmu untuk meletakkan sesuatu mengikut tempatnya yang betul.

Sekiranya diperluaskan kepada tujuan pendidikan Islam juga wujud keselarasan pemikiran antara al-Ghazali dan al-Attas. Tujuan pendidikan Islam pada hakikatnya adalah membentuk manusia yang berbudi pekerti luhur  yang melaksanakan  syariah dan hukum-hukum Islam. Al-Attas (1979) mengungkapkan:The aim of Muslim education is the creation of the “good and righteous man” who worships Allah in the true sense of the term, builds up the structure of his earthly life according to the sharia (Islamic law) and employs it to subserve his faith.

Wan Mohd Nor Wan Daud  (1998) menyimpulkan makna pendidikan (ta`dib) dan adab dengan tujuh ciri. Pertama, ta’dib adalah perbuatan mendisiplinkan jiwa dan minda; kedua, pencarian kualiti dan sifat jiwa dan minda; dan ketiga, perilaku yang benar dan sesuai yang berlawanan dengan perilaku salah dan buruk. Ciri ta’dib yang keempat ialah ilmu yang dapat menyelamatkan manusia; kelima, pengenalan dan pengakuan kedudukan sesuatu secara benar dan tepat; keenam, suatu kaedah mengetahui yang menghasilkan kedudukan sesuatu secara tepat dan benar; dan yang ketujuh adalah  jelmaan keadilan (‘adl) sebagaimana ditonjolkan oleh kebijaksanaan (hikmah).

Dalam Ihya Ulumiddin, al-Ghazali menekankan tujuan pendidikan sebagai:  “Sesungguhnya hasil ilmu itu ialah mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, Tuhan semesta alam, menghubungkan diri dengan ketinggian malaikat dan berhampiran dengan malaikat tinggi….” Keselarasan pandangan antara al-Ghazali dan al-Attas wujud kerana salah satu tujuan penting dalam pendidikan Islam adalah penanaman adab (inslucation of adab) untuk melahirkan insan yang baik (a good man) yang berpegang teguh kepada iman dan akidah yang mantap bukannya warganegara yang baik (a good citizen).

Internalisasi Akhlak Dan Ta’dib
Business Dictionary mentakrifkan internalisasi sebagai “Process by which individual members of a formal group take on (and make them their own) the attitudes, beliefs, perspectives, and values held by other members. Work ethics, for example, result from the internalization of attitudes toward time and effort”. Kamus Besar Indonesia mendefinisikan internalisasi sebagai penghayatan terhadap sesuatu ajaran, doktrin, atau nilai sehingga merupakan keyakinan dan kesedaran akan kebenaran doktrin atau nilai yang diwujudkan dalam sikap dan perilaku. Dalam kaitannya dengan akhlak dan ta’dib, ia menjuruskan kepada penghayatan nilai-nilai akhlak dan adab.
Proses internalisasi adalah proses yang berlaku sepanjang hidup manusia, antaranya kerana dorongan perubahan keperluan manusia, teknologi, persekitaran dan pertambahan usia manusia itu sendiri. Melalui internalisasi individu belajar menyubur dan mengembangkan segala potensi yang memang telah terkandung dalam dirinya untuk dimanfaatkan sepanjang hayatnya. Walau bagaimanapun dalam usaha membangunkan potensi-potensi jiwa itu manusia akan berhadapanan dengan pelbagai pengaruh dan kekangan daripada persekitaran hidupnya, lingkungan sosial mahupun budayanya.

Manusia memang dilahirkan dalam keadaan fitrah tetapi pendidikan dan persekitaran akan mempengaruhinya sama ada mengarah kepada kebaikan atau keburukan. Hakikat ini selaras dengan hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (tidak mempersekutukan Allah) tetapi orang tuanyalah yang menjadikan dia seorang Yahudi atau Nasrani atau Majusi ...” Dalam apa keadaan sekalipun, Allah menegaskan dalam firman-Nya bahawa manusia mesti “(tetaplah atas) fitrah Allah yang menciptakan manusia menurut fitrah itu. (Hukum-hukum) ciptaan Allah tidak dapat diubah. Itulah agama yang benar. Tapi sebahagian besar manusia tidak mengetahui (QS Ar-Rum, ayat 30).

Al-Ghazali cenderung mengatakan akhlak muktasabah  bukanlah fitrah yang tidak boleh diubah. Bagi beliau, yang tidak boleh diubah ialah  al-khalqu ataupun bentuk fizikal diri manusia. Al-Ghazali memberikan hujah dengan mengatakan: “Seandainya akhlak tidak dapat diubah, maka wasiat, nasihat, dan pendidikan yang diberi tidak akan membawa apa-apa makna, sedangkan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda, “Hassinû akhlâqakum, yang bermaksud “perbaikilah akhlak-akhlak kalian.”

Bagi al-Ghazali, perubahan akhlak daripada yang buruk kepada yang baik boleh dilakukan menggunakan kaedah bertahap (tadrij). Tahapan tadrij hendaklah dimulakan dengan mengubah tabiat atau akhlak buruk yang sudah sebati di dalam jiwa kepada akhlak lain yang lebih ringan. Proses modifikasi akhlak itu dilakukan dengan penuh sabar dan diteruskan sehingga akhlak yang buruk itu dapat dihapuskan daripada jiwa pelakunya. Menurut al-Ghazali, kaedah dapat diaplikasikan kepada semua akhlak buruk. Al-Ghazali memberikan contoh, untuk mengubah tabiat individu yang rakus tentang makanan, individu itu harus berpuasa dan mengurangi makan. Setelah itu, ia harus memaksakan diri menyediakan makanan yang lazat dan memberikannya kepada orang lain dan ia sendiri tidak memakannya. Latihan tersebut hendaklah dilakukan secara berterusan sehingga jiwanya kuat menghadapi hal itu dan tidak lagi rakus pada makanan.

Asmawati Suhid (2009) menjelaskan bahawa Islam mementingkan faktor kebiasaan dalam pembentukan dan pembinaan peribadi manusia. Hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud:  “Suruhlah anakmu mendirikan solat ketika umurnya tujuh tahun, dan pukullah mereka ketika berumur sepuluh tahun sekiranya enggan melakukannya” jelas menegaskan perkara ini. Ibu bapa atau pendidik, hendaklah menyuruh anak-anak menunaikan solat agar amalan solat itu menjadi satu kebiasaan yang tidak akan mendatangkan rasa berat atau bebanan dalam melaksanakan ibadah solat. Hal ini menunjukkan bahawa Islam mementingkan faktor kebiasaan dan pengulangan dalam pembentukan dan pembinaan peribadi manusia.

Tanpa dapat dinafikan teladan yang baik amat perlu ditunjukkan dalam pembinaan akhlak terutama pada anak-anak. Sebabnya,  anak-anak suka meniru perlakuan orang-orang berada di sekeliling mereka khususnya orang yang mempunyai hubungan yang rapat dengan dirinya. Lantaran itu ‘Amr bin ’Utbah berkata kepada guru anaknya, “langkah pertama membimbing anakku hendaklah membimbing dirimu terlebih dahulu, sebab pandangan anak itu tertuju pada dirimu, maka yang baik pada mereka adalah yang kamu kerjakan dan yang buruk adalah yang kamu tinggalkan”.

Modal Insan Berkualiti
Modal insan atau human capital  didefinisikan sebagai The set of skills which an employee acquires on the job, through training and experience, and which increase that employee's value in the marketplace. Definisi lain ialah Human capital refers to the stock of productive skills and technical knowledge embodied in labour. Modal insan dalam acuan Islam ialah modal insan yang mempunyai sahsiah yang terpuji, menghayati sistem kepercayaan berfalsafah dan berprinsip  serta berintegriti iaitu ada wawasan, perancangan yang rapi, keterampilan diri, pemantauan serta memiliki adab dan akhlak terpuji.

Modal insan berkualiti dalam perspektif Islam adalah modal insan yang memiliki akhlak terpuji (akhlakul mahmudah) sekali gus memiliki adab yang membolehkannya meletakkan sesuatu pada tempatnya. Martabat orang mukmin yang berakhlak mahmudah amat tinggi hingga mencapai tanda kesempurnaan iman. Hal ini diakui oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sabdanya yang bermaksud:  “Orang-orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya.”(Dishahihkan oleh Syaikh Al-Albani dalam Shohihul Jami’, No. 1241).  Akhlakul mahmudah juga mampu mengangkat darjat orang mukmin dekat dengan Allah Allah Subhanahu wa Ta'ala, sebagaimana ditegaskan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sabdanya yang bermaksud: ”Sesungguhnya seorang mukmin dengan akhlaknya yang  baik mampu mencapai darjat di sisi Allah ialah orang yang berpuasa dan qiamullail.” (Dishahihkan oleh Syaikh Al-Albani dalam Shahihul Jami’, No. 1937)
           
Pemilik akhlakul mahmudah juga adalah insan yang amat beruntung kerana diakui oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sabdanya yang bermaksud: “Tidak ada sesuatu yang lebih berat ketika diletakkan di timbangan amal (di hari akhirat) selain akhlak yang baik.” (Shahihul Jami’, No. 5602). Abu Hurairah radiyallahu anhu menceritakan apabila  Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ditanya tentang kriteria orang yang paling banyak masuk syurga, Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab: “Taqwa kepada Allah dan akhlak yang baik.” (Hadis Sahih Riwayat Tirmidzi dan Imam Ahmad). Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga bersabda yang bermaksud: “Orang mukmin yang paling sempurna imannya, ialah yang paling baik akhlaknya." (H.R.Ahmad).
            Hadis-hadis sahih tersebut secara jelas menampakkan keterikatan akhlak yang baik dengan iman, takwa dan akidah yang sekali gus memancarkan kriteria yang perlu dimiliki oleh modal insan berkualiti. Sekiranya diperhalusi hadis-hadis  Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang lain akan dapat dikesan ciri-ciri akhlak yang sepatutnya membatin dalam diri manusia. Dalam hubungan sesama manusia misalnya, antara sifat akhlak yang baik ialah berkata baik atau diam, memuliakan jiran, dan memuliakan tetamu. Dalam konteks kepedulian sosial pula sifat akhlak yang baik adalah  memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta. Dalam membina kerangka pergantungan yang intim dengan Allah Subhanahu wa Ta'ala, ciri akhlak yang baik ialah   mendirikan shalat, menunaikan zakat serta sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Untuk membangunkan silaturahim, ciri-ciri akhlak yang dianjurkan ialah menepati janjinya apabila ia berjanji,  memberi dan menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazahnya ke kuburan, memenuhi undangan dan jika bersin mengucapkan Alhamdulillah jika bersin dan mendoakan orang yang mengucapkan Alhamdulillah apabila bersin. Malahan dalam adab bergaul disarankan supaya membalas perbuatan yang buruk dengan perbuatan yang baik kerana kebaikan itu akan menutupi kejelekan dan bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik.

Modal insan berkualiti sewajarnya menjadikan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai model akhlak terpuji sesuai dengan pengiktirafan yang diberikan kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam  oleh Allah Allah Subhanahu wa Ta'ala
68:4
“Dan sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang tinggi (mulia).” (Surah Al-Qalam : 4)

Faktor Keruntuhan Akhlak dan Adab Menurut al-Ghazali dan al-Attas
Punca utama keruntuhan akhlak dan adab ialah disebabkan oleh kehilangan adab (The lost of adab) dalam pengertian yang luas iaitu suatu keadaan di mana manusia kehilangan jati dirinya sebagai makhluk yang cenderung kepada kebaikan. Kehilangan adab terjadi akibat kekeliruan dalam memahami ilmu (corruption of knowledge). Konsep ilmu disempitkan kepada pengetahuan tentang perkara-perkara yang dapat dibuktikan secara empirikal semata-mata. Akibatnya ilmu yang berbentuk ghaib (tidak dapat dibuktikan secara empirikal) yang sebahagian besarnya adalah ajaran pokok agama Islam seperti masalah ketuhanan, kenabian dan wahyu  tidak dianggap sebagai objek ilmu.

Kehilangan adab dijelaskan oleh al-Attas (1979) sebagai permasalahan disiplin insan yang tidak tahu kedudukan dirinya di tengah susun lapis kehidupan. Disiplin ini merangkumi jasad, minda dan jiwa insan dan kewujudan yang tersusun secara berhiraki. Menurut al-Attas (1972), ““Loss of adab….referring to the loss of discipline—discipline of body, mind and soul,  the discipline that assures the recognition and acknowlegement of one’s proper place in relation to one’s self, society and community; the recognition and acknowledgement of one’s proper place in relation to one’s physical, intellectual, and spiritual capacities and potentials; the recognition and acknowledgement and being are ordered hierarchically.” Kekeliruan dan kekaburan dalam  memahami ilmu serta hilangnya adab mengakibatkan berkembangnya kezaliman, kebodohan dan kegilaan. Kezaliman adalah menempatkan sesuatu bukan pada tempatnya. Kebodohan adalah melakukan cara yang salah untuk mencapai hasil tujuan tertentu. Manakala kegilaan adalah perbuatan yang berdasarkan tujuan dan maksud yang salah.

Punca kedua adalah menyamaratakan ilmu fardu ain dan fardu kifayah. Wan Mohd. Nor (2009) menjelaskan bahawa  al-Attas menyarankan umat Islam perlu bersikap kritis terhadap pandangan alam (world view) Barat yang tersirat dalam konsep-konsep pembangunan, kemajuan, kemodenan, tradisi yang tidak selari dengan  falsafah pembangunannya berdasarkan pandangan alam (world view) Islam yang teguh dan dinamik. Pandangan alam (world view) Islam menghendaki agar umat Islam sentiasa berada di jalan yang lurus dan memastikan setiap apa yang dilakukannya di dunia ini bertepatan dengan yang diinginkan oleh Islam. Menyedari akibat buruk yang dibawa oleh falsafah pembangunan Barat, al-Attas (2007) mengingatkan umat Islam perlu meneliti dengan betul akan sesuatu konsep, teori, dan ilmu yang datang dari luar adakah ia benar-benar bernilai dan perlu diambil sebelum diterima dan diajarkan secara meluas. Kemajuan sebenar hanya tercapai apabila manusia kembali ke jalan yang lurus dan pembangunan adalah usaha manusia untuk berubah agar sentiasa berada atas jalan yang lurus.

Sehubungan dengan penyamarataan ilmu fardu ain dan fardu kifayah timbul pula masalah penyamarataan taraf kewibawaan ilmu. Mohd Sani Badron (2010) menjelaskan “Antara ciri keruntuhan adab terhadap ilmu keislaman ialah menyamaratakan taraf semua orang, iaitu sesiapa sahaja sama-sama boleh memberikan pandangan yang melibatkan ilmu, termasuk yang tiada atau kurang berkewibawaan”. Penyamarataan autoriti tersebut, antaranya mengakibatkan al-Qur'an disamakan dengan buku-buku lain yang boleh ditafsirkan sendiri atau ditafsirkan mengikut kehendak zaman moden (Barat) dengan menggunakan metodologi-metodologi Barat seperti hermeneutik dan feminisme; Islam disamakan dengan agama-agama lain iaitu semuanya baik dan benar; dan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam disamakan dengan para Rasul dan Nabi yang lain, juga disamakan dengan manusia lain dengan menggunakan hujah "qul innama ana bashar mithlukum" (Sesungguhnya aku ini manusia biasa seperti kamu) yang menyebabkan sirah Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dipisahkan daripada mukjizatnya, sedangkan kesemuanya ada nilai yang berbeza peringkat-peringkatnya

Bagi al-Ghazali enam daya yang ada dalam jiwa manusia iaitu nafsu, kemarahan, dorongan, pemahaman, intelek dan kehendak jika tidak dikawal dengan berkesan akan menimbulkan masalah akhlak yang meruncing. Dorongan, pemahaman dan kehendak tidak mungkin berlaku jika tiada rangsangan daripada hawa nafsu, kemarahan dan intelek yang memang berpunca daripada tabii manusia sendiri. Sehubungan itu al-Ghazali memperkenalkan teori keseimbangan jiwa yang didominasi oleh nafsu yang  lahir daripada ciri kehaiwanan (al-bahimiyyah), kemarahan yang lahir daripada ciri keganasan                 (al-sab’iyyah) dan intelek yang lahir daripada ciri ketuhanan (al-rabbaniyyah). Menurut        al-Ghazali, sekiranya nafsu (syahwat) dapat dikawal dan berada dalam keadaan sederhana bermakna manusia boleh mencapai nilai-nilai baik seperti keikhlasan, kepuasan, ketenangan batin, kewarakan, keriangan, dan memiliki perasaan malu. Sekiranya daya marah (ghadab) dapat dikawal, sifat berani, mulia, sabar dan memaafi orang lain yang menzaliminya akan  hilang. Jika unsur kekendirian manusia diutamakan daripada daya marah dan nafsu, lahir sifat berilmu, berhikmah dan berkeyakinan. Sebaliknya jika marah (ghadab) dan nafsu (syahwat) diutamakan akan timbul sifat tamak, haloba, jahat, riak dan hasad dengki. Sekiranya marah (ghadab) menguasai diri manusia sifat-sifat kehaiwanan seperti pengkhianatan, pendustaan dan permusuhan akan mendominasi diri dan tindak-tanduknya.

Mengefisyenkan Kembali Internalisai Akhlak dan Ta’dib
Sehubungan dengan perkara di atas, Mohd. Kamal Hassan (1988) mencadangkan tiga peringkat pendekatan akhlak yang perlu diaplikasikan dalam pendidikan anak-anak demi melahirkan generasi madani. Pendekatan pertama adalah membetulkan falsafah, kurikulum dan tujuan pendidikan dengan memberi penekanan kepada akhlak. Kedua, ilmu akhlak yang berintipatikan aktiviti mengasimilasi dan menghayati ahklak yang mulia harus dipelajari secara praktikal dari peringkat tadika hinggalah ke menara gading dan bukan dengan pemahaman teori sahaja. Ketiga,  perlu ada sokongan pembudayaan akhlak dan penguatkuasaan oleh pihak pemerintah. Sekiranya ketiga-tiga langkah tersebut dilaksanakan dengan berkesan baharulah pendidikan akhlak yang berkesan itu mampu melahirkan generasi bakal pemimpin masyarakat dan negara yang tidak tamak kuasa atau harta, amanah, jujur dan adil dan akan mengutamakan kepentingan rakyat pada setiap masa dan keadaan.

Membangunkan kemahiran keibubapaan (parenting skills) turut menjadi langkah penting untuk menginternalisasikan akhlak dan mewujudkan keluarga bahagia. Ibu bapa perlu mengutamkan pembentukan akhlak anak-anak dengan memanfaatkan masa anak-anak yang  lebih banyak di rumah. Gelombang globalisasi yang melanda  budaya “nuclear family‟  wajar dikawal agar tidak menghancurkan peranan rumah tangga sebagai  institusi pembentukan akhlak masyarakat . “Contact hours‟  antara ibu bapa dan anak yang semakin diminimumkan oleh kesibukan mengejar kerjaya, mengumpul harta dan terlibat dengan kerja sosial di luar rumah telah mengakibatkan peranan mendidik anak semacam  terencat dan terabai.

Langkah seterusnya ialah kembali kepada fitrah kejadian manusia dan tetap berada atas landasan fitrah tersebut. Muhammad Uthman El-Muhammady  menjelaskan maksud kembali kepada fitrah iaitu, pertama, kembali kepada akidah yang betul dan benar dalam Ahlis-Sunnah wal-Jamaah yang datang dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Kedua, kembali kepada mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala  dalam seluruh kegiatan hidup sebagaimana yang terkandung dalam iftitah dalam sembahyang: "Sesungguhnya sembahyangku, pengorbananku, hidupku dan matiku adalah bagi Allah Tuhan Yang Mentadbir sekelian alam". Ketiga, kembali kepada kehidupan menjaga suruhan-suruhan-Nya dan menjauhi larangan-larangan-Nya yang semuanya berupa batasan-batasan yang sesuai dengan fitrah kejadian asal dirinya. Manusia yang kembali dan tetap teguh atas fitrah akan menjadi manusia yang bertakwa dan memiliki akhlak terpuji.

            Melakukan pembudayaan akhlak Islam dengan berpandukan model akhlak yang ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam adalah langkah yang amat berkesan untuk menginternalisasikan akhlak. Kajian yang mendalam tentang  akhlak dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam perlu dilaksanakan dan disebarkan secara meluas. Amat banyak akhlak terpuji yang dipraktikkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam untuk diteladani. Sekedar contoh, teladani akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam beramal, misalnya beristighfar seratus kali sehari dan mendirikan solat seperti mana solat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Teladani adab Rasulullah  Sallallahu Alaihi Wasallam dalam pergaulan yang menyantuni semua manusia termasuk kanak-kanak.

Kaedah seterusnya ialah dengan mempelajari adab dan memahami falsafah di sebaliknya. Teladani akhlak para sahabat Rasulullah  Sallallahu Alaihi Wasallam.  Saiyidina Umar radiyallahu anhu misalnya sering bertanya kepada sahabat-sahabatnya tentang kelemahan dan keburukan dirinya. Sekiranya ada sahabat yang dapat memberi tahu tentang kelemahan dirinya, Sayidina Umar radiyallahu anhu akan mendoakan sahabat itu dengan kata-kata: “Semoga Allah memberi rahmat kepada orang yang dapat menunjukkan kepadaku keaiban diriku.” Ini adalah antara contoh modal insan berkualiti yang amat takut sekiranya ada tabiat atau tingkah lakunya yang bercanggah dengan syariat Allah. Malah amat bersyukur sekiranya ada orang menegur kesilapan dan kelemahannnya supaya kelemahan itu dapat diperbaiki atau dihapuskan daripada terus menguasai dirinya.

Bagi mengatasi masalah kebejatan akhlak, al-Ghazali menekankan tentang pentingnya dilakukan mujâhadah dan riyâdhatun nafs untuk mendidik akhlak. Metodologi pendidikan akhlak yang dianjurkan oleh al-Ghazali  adalah dengan mendorong jiwa untuk melakukan amalan-amalan yang dituntut oleh akhlak iaitu menghakis akhlak yang buruk dan secara beransur-ansur, dengan penuh kesabaran dan istiqamah menggantikannya dengan akhlak yang baik. Al-Ghazali memberikan analogi pembaikan akhlak dengan mengubat anggota badan yang berpenyakit iaitu menghilangkan penyakit dan mengusahakan kesembuhannya.
Al-Attas pula menganjurkan supaya tidak dipisahkan ilmu fardu ain dan fardu kifayah kerana ilmu tidak bebas nilai sebaliknya sarat nilai (value laden). Al-Attas juga menganjurkan supaya menolak  westernisasi ilmu yang telah menjadikan keraguan sebagai epistemologi yang sah dalam keilmuan kerana ia tidak dibangunkan dengan berpandukan  wahyu dan kepercayaan agama. Sebaliknya westernisasi ilmu dibangunkan atas tradisi budaya yang kuat dipengaruhi oleh spekulasi filosofis yang mengutamakan kehidupan sekuler yang memusatkan manusia sebagai makhluk rasional. Akibatnya menurut al-Attas (1995), ilmu pengetahuan dan nilai-nilai etika dan moral yang diatur oleh rasio manusia, terus menerus berubah menggunakan acuan peradaban Barat. Implikasinya, akal dijadikan landasan untuk membimbing kehidupan manusia; bersikap dualistik terhadap realiti dan kebenaran; menegaskan aspek eksistensi (kewujudan) yang memprojeksikan pandangan hidup sekuler; membela doktrin humanisme; dan menjadikan drama dan tragedi sebagai unsur-unsur yang dominan dalam fitrah dan eksistensi kemanusiaan. Ekorannya, lahirlah manusia-manusia yang tidak berpijak di atas jalan yang lurus yang tindak tanduknya bercanggah dengan akhlak dan adab Islam.

Penutup

Konsep akhlak al-Ghazali dan konsep ta’dib al-Attas mempunyai kaitan dalam membentuk modal insan berkualiti. Ketika al-Ghazali menekankan asas pembinaan akhlak dengan menyorot aspek-aspek kejiwaan manusia, al-Attas meluaskan tuju hala konsep ta’dibnya kepada pembinaan ilmu yang berlandaskan adab untuk meletakkan tindak-tanduk manusia pada landasan yang benar mengikut syariah. Ketika al-Ghazali menekankan mujahadah dan riyadah an-nafs sebagai proses penyucian jiwa (akhlak), al-Attas menekankan pentingnya meletakkan ilmu menurut hirarki dan menolak penyamarataan ilmu seperti yang dilakukan oleh Barat.

Melalui ta’dib, al-Attas ingin menjadikan pendidikan sebagai sarana transformasi nilai-nilai akhlak mulia yang bersumber pada ajaran agama ke dalam diri manusia, serta menjadi dasar terjadinya proses islamisasi ilmu pengetahuan. Siddiq Fadil (2012) mengingatkan tentang implikasi meminggirkan etika dalam tujuan pendidikan yang dilakukan oleh sebahagian besar pemikir pendidikan Barat.. Harry R. Lewis, profesor University Harvard misalnya, menghasilkan Excellence Without A Soul (kecemerlangan tanpa roh) dan mengakui tentang kegagalan sistem pendidikan Barat khususnya di Universiti Harvard dalam membentuk modal insan berkualiti. Tegas Lewis,  mereka telah melupakan tanggungjawab dasar terhadap anak didik apabila tidak “...to help them grow up, to learn who they are, to search for a larger purpose for their lives, and to leave college as better human beings.” dan kurang memberi perhatian serius tentang pembinaan watak pelajar, “...about their development into people of good character who will know that they owe something to society for the privileged education they have received.”

Excellence Without A Soul disusuli pula oleh buku What They Teach You at Harvard Business School oleh Philip Delves Broughton merakamkan pengalamannya belajar  di institusi yang terkenal dengan ijazah MBAnya yang berprestij itu. Siddiq Fadil (2012) merumuskan, “dengan latar pencitraan sedemikian, tidak ada siapa pun yang hairan jika ramai graduannya menjadi kapitalis yang barbarik, menjadi binatang ekonomi yang materalistik, mementingkan diri, rakus dan boros. Orientasi kebendaannya memang kental sekali sehingga Philip Delves Broughton hanya mampu mengeluh bahawa yang selalu menjadi pokok pembicaraan masyarakat siswanya bukan lagi soal pengajian, ilmu, atau persiapan menghadapi dunia kerjaya; tetapi lebih banyak tentang ambitions dan nafsu besar iaitu mahu pangkat apa, mahu gaji berapa, mahu jadi sekaya siapa, dan mahu gaya hidup semewah mana”.

Haron Din (2007) menegaskan akhlak adalah roh kepada risalah Islam. Sementara syariatnya ataupun sistem perundangan adalah jelmaan daripada roh itu. Oleh sebab itu, matlamat atau sasaran yang hendak dicapai oleh risalah Islam pada kehidupan manusia adalah sasaran akhlak. Ini juga bererti Islam tanpa akhlak hanya rangka tanpa isi atau jasad tanpa nyawa atau barang yang tidak bermilai. Dalam hubungan ini, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya: “Akhlak yang baik dapat menghapuskan kesalahan, bagaikan air yang menghancurkan tanah yang keras. Dan akhlak yang jahat pun boleh merosakkan amal, seperti cuka merosakkan manisnya madu.” (Hadis riwayat Baihaqi)
Manakala al-Ghazali menyimpulkan bahawa kesempurnaan dan kebahagiaan manusia (hamba Allah) terletak pada kesediaan dan keupayaannya berakhlak dengan akhlak Allah Subhanahu wa Ta'ala.



Bibliografi
al-Attas, Syed Muhammad Naquib. Prolegomena to The Metaphysics of Islam: An Exposition of The Fundamental Elements of The Worldview of Islam, Kuala Lumpur: ISTAC, 1995.

al-Attas, Syed Muhammad Naquib (1999), The Concept of Education in Islam. Kuala Lumpur: ISTAC.

al-Attas, Syed Muhammad Naquib, Risalah untuk Kaum Muslimin, ISTAC, 2001.

Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad ibn Muhammad al-Ghazali, Ihya Ulumiddin (Terjemahan Bahasa Melayu)

Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad ibn Muhammad al-Ghazali, Minhajul Abidin (Wasiat Imam Ghazali), Victory Agencie, Kuala Lumpur

Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad ibn Muhammad al-Ghazali, Membinaan Kabahagiaan Hidup (terjemahan, Syarikat Nurulhas, Kuala Lumpur

Asmawati Suhid, Pendidikan Akhlak Dan Adab Islam: Konsep dan Amalan, KL, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd, 2009.

Haron Din, Islam: Rujukan Efektif Akhlak Mulia, PTS Millenna Sdn. Bhd, Kuala Lumpur, 2007

Mohd  Kamal Hassan, Pendidikan dan Pembangunan Satu Perspektif Bersepadu, 1988, Kuala Lumpur, Nurin Enterprise.

Muhammad ‘Uthman El-Muhammady, Islam Peribadi Tarbiah dan Institusi, 1987, Kota Bharu, Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

Wan Mohd Nor Wan Daud.(2005). Falsafah dan Amalan Pendidikan Syed M. Naquib Al-Attas : Satu Huraian Konsep Asli Islamisasi. Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya.


Sumber Internet:

http://www.binamasyarakat.com/?p=672

Asyraf Isyraqi bin Jamil, Rumusan Tentang Adab dan Ta’dib
http://zaid-alkhair.blogspot.com/2012/01/rumusan-tentang-adab-dan-tadib.html

http://ayubmenulis.blogspot.com/2012/04/dewesternisasi-ilmu-upaya-al-attas.html


Hadijah Rahmat, Membina minda dan budaya Melayu baru melalui perekayasaan pendidikan bangsa, Jurnal e-Utama, 1, 8-23, (Published by) National Institute of Education
Khalif Muammar A. Haris, Pandangan Islam Terhadap Tradisi dan Kemodenan (Islamic View Of Heritage And Modernity), Jurnal Hadhari 4 (1) (2012) 23-48, www.ukm.my/jhadhari

http://ayubmenulis.blogspot.com/2012/03/kritik-atas-konsep-tadib-naquib-al.html

Modul : 7 - Masalah Luaran Kaum Muslimin & Cabaran Kebudayaan Barat)
Penyampai : Dr. Mohd Farid Mohd Shahran
http://peminggirkota.blogspot.com/2011/06/masalah-luaran-kaum-muslimin-cabaran.html

Mohammad  Fazril Bin Mohd Saleh Pendidikan Remaja Dalam Era Globalisasi;
Tinjauan Terhadap Konsep Ta`dib Sebagai Pendidikan Yang Komprehensif
http://grupjilsaladin.blogspot.com/2010/10/pendidikan-remaja-dalam-era-globalisasi.html

Mohd. Sani Badron, Adab & Ta’dib: Masalah Dalaman Kaum Muslimin Dan
Beberapa Isu Pendidikan Islam,
http://ikhazul.blogspot.com/2010_07_01_archive.html

Muhammad Uthman El-Muhammady, Kembali Kepada Fitrah
http://traditionalislam.freeservers.com/kembali_kepada_fitrah.htm


Siddiq Fadzil, Krisis Pemaknaan Pendidikan: Menangani Gejala Excellence Without Soul
http://www.nurulizzah.com/site/2012/12/15/krisis-pemaknaan-pendidikan-dr-siddiq-fadzil/
Zakaria Stapa*; Noranizah Yusuf; Abdul Fatah Shaharudin, Pendidikan Menurut Al-Quran Dan Sunnah Serta Peranannya Dalam Memperkasakan Tamadun Ummah, Jurnal Hadhari Special Edition (2012) 7-22, www.ukm.my/jhadhari

Zulkiple Abd. Ghani dan Nor Salimah Binti Abu Mansor, Penghayatan Agama Sebagai Asas Pembangunan Pelajar: Analisis Terhadap Beberapa Pandangan Al-Imam Al-Ghazali


http://www.investorwords.com/2359/human_capital.html
http://en.wikipedia.org/wiki/Human_capital

2 comments: